Tuesday 15 January 2013

100 sertai Kejohanan Sukan Berkuda

MENARIK. Seramai 100 pelumba kuda menyertai Kejohanan Sukan Berkuda 2010 di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu baru-baru ini.
Kejohanan sukan lumba kuda itu dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Muay Thai M-150 dengan kerjasama Persatuan Sukan Berkuda Amatur Kelantan.
Menurut Penyelaras Kejohanan, Mohd. Fareed Abdul Ghani, program itu bertujuan melahirkan golongan remaja yang aktif bersukan dan menghindarkan mereka daripada terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah.
"Kebanyakan peserta tempatan yang mengambil bahagian berusia antara 10 hingga 25 tahun dan menariknya mereka menunggang kuda masing-masing tanpa menggunakan pelana,'' katanya.

Sukan berkuda lahir penunggang muda


TUMPAT 1 April - Mohd. Farhan Ghazali, 12, muncul juara kategori Kuda Padi C pada Kejohanan Sukan Berkuda 2012 di Trek Berkuda Padang Kampung Dalam Rhu, Tumpat, semalam.
Penunggang dari Kampung Pauh Ganja, Wakaf Bharu, Tumpat yang menunggang kudanya bernama 'Jinnah' berjaya membawa pulang wang tunai RM500 dan medal.
Sementara tempat kedua bagi kategori itu dimiliki oleh Mohd. Fikri Mohamad, 13, dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu dengan menunggang kudanya diberi gelaran 'Ribut' dan menerima wang tunai RM300 serta medal.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd. Yusri Amin, 11, dari Kampung Kutan, Tumpat dengan menunggang kudanya 'DJ' dan menerima wang tunai RM100 dan medal.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Persatuan Sukan Berkuda Amatur Kelantan (PSBAK), melibatkan enam kategori Kuda Berlima, Kuda Kacuk Kelantan A, Kuda Kacuk Kelantan B, Kuda Padi A, Kuda Padi B dan Kuda Padi C.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.
Presiden PSBAK, Datuk Mohd. Fareed Abdul Ghani memberitahu, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan di luar jangkaan di mana kira-kira 200 peserta menyertainya.
"Pihak kita turut mengadakan pertandingan bola sepak sembilan sebelah, melukis kanak-kanak dan pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang menarik minat kira-kira 2,000 peminat sukan berkuda,'' jelasnya.